‘Antara Budaya, Warisan dan Cinta….. Wayang Sentuhan Magis Dr.Hatta Azad Khan..

Pertama kali mendengar tajuk ‘Wayang’ barangkali ada diantara anda akan menganggapkan ia sebuah karya yang membosankan, membuang masa dan tidak menarik khalayak. Namun, sangkaan itu perlu dilemparkan jauh tatkala menyaksikan keseluruhan plot penceritaan, mesej dan lakonannya cukup menyentuh perasaan kerana filem Wayang tinggi falsafahnya serta mempunyai garapan yang cukup idealistik dan melankolik. Walaupun ia mengangkat tema ‘wayang kulit’ ke peringkat tertinggi dengan rasa cinta dalam memelihara warisan budaya tempatan, filem Wayang tidak perlu diketepikan buat pencinta sinema tempatan. Ia cukup rencah dan penuh sindiran tajam kepada masyarakat umum agar jangan memandang rendah kepada individu yang menjadikan ‘wayang kulit’ sebagai mata pencarian utama dalam kehidupan seharian. Itulah serba sedikit gambaran yang dikupas di dalam Wayang yang lebih memfokuskan tentang kehidupan masyarakat di bumi Kelantan yang amat mengagungkan permainan wayang kulit sebagai warisan tempatan yang perlu dihargai. Akan tetapi, disebalik kesibukan Pak Awang ( Eman Manan ) dalam mempertahankan maruah permainan Wayang Kulit agar terpelihara, kemunculan Jusoh lakonan Wan Kenari sebagai antagonist kepada warisan wayang kulit cukup tajam sindirannya, kerana Jusoh digambarkan seorang muslim yang berjubah dan memakai serban tetapi mempunyai akhlak yang lebih teruk daripada orang bukan islam sendiri. Apakah Dr.Hatta Azad Khan ingin mengupas naskhah Wayang sebagai gambaran sebenar masyarakat islam di bumi Kelantan yang cukup antagonist pada warisan seni yang dianggap melalaikan dan tidak bermaruah?. Serta menganggap wayang gambar dalam Wayang sebagai haram dan salah di sisi islam?. Adakah ia cukup simbolik pada masyarakat umum yang beragama islam?. Namun, Wayang bukanlah sebuah filem dokumentari tentang kebudayaan Wayang Kulit, tetapi naskhah Wayang garapan sarjana perfileman, Dr.Hatta Azad Khan ini sebenarnya sebuah filem Malaysia yang sejagat pemikirannya dalam mengupas isu ‘cinta’ yang diangkat sebagai tema agung filem Wayang ini. Bayangkan betapa rasa cintanya Pak Awang ( Eman Manan ) terhadap seni wayang kulit serta juga kupasan cinta sesama manusia antara watak Awi ( Zul Huzaimy ), seorang pemuda buta yang tinggi akhlaknya dalam mempertahankan rasa cintanya pada Melor ( Mas Muharni ), seorang gadis sengau yang baik budi pekertinya. Kedua-dua watak ini dibesarkan oleh Pak Awang sehinggakan mereka berdua menjadi pewaris warisan seni wayang kulit yang terunggul. Mungkin sukar diterima pemikiran umum, bahawa seorang lelaki kacak yang buta jatuh cinta dengan gadis normal, tetapi sengau pertuturannya?. Itulah sebuah naskah yang cukup indah garapannya menerusi Wayang, yang kira saya sebuah filem yang mempunyai plot naratif dan lakon layar yang cukup mengujakan serta tinggi falsafahnya.

Namun begitu, persoalan yang kerap bermain difikiran saya bahawa apakah filem-filem sebegini kurang menarik perhatian masyarakat umum yang bukan aliran perfileman untuk datang menyaksikan Wayang di pawagam. Adakah subjek yang diketengahkan ‘wayang kulit’ tidak menarik perhatian anda?. Dan mungkin filem wayang tiada adegan seks, hubungan mesra seperti filem komersial lain atau tiada artis popular yang lain menyertai produksi filem ini?. Atau tiada adegan seperti filem CICAKMAN? Dan kesannya, anda tiada berminat untuk menyaksikan betapa indahnya ungkapan wayang melalui plot naratifnya. Itulah risiko menghasilkan filem yang bertemakan ‘budaya, warisan dan cinta sejagat’, namun bagi saya filem ini akan lebih dihargai masyarakat antarabangsa sekiranya ia menyertai beberapa festival filem antarabangsa, sepertimana kejayaan filem-filem arahan U-Wei Shaari yang diiktiraf pembikin filem antarabangsa. Menonton filem wayang bagi saya cukup mengujakan perasaan walaupun yang menonton dipawagam cuma 8 hingga 10 orang sahaja. Itulah realiti penerimaan masyarakat Malaysia terhadap filem berkualiti seperti filem Wayang yang kurang mendapat sambutan masyarakat walaupun ia menghidangkan plot yang cukup kuat falsafahnya. Apakah ini akan terjadi sekiranya lebih banyak filem berkualiti memasuki pawagam Malaysia?. Dan masyarakat akan memilih filem yang ringan dan longgar pemikirannya, walaupun ia sebuah karya yang bangang dan cetek pemikirannya. Justeru, apa yang dapat saya rumuskan di sini bahawa, filem wayang perlu ditonton bagi anda yang ingin memasuki dunia perfileman dan buangkanlah sifat memilih dalam menonton sesebuah filem kerana, filem yang berkualiti adalah sukar untuk ditembusi pemahaman dalam memahami setiap jurang garapannya. Wallahuallam..

-amyikram ismail


Catat Ulasan

2 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tulisan u baguslah,

i copy paste entry u ke dalam artikel i untuk majalah k?

kita sesama islam tak perlu berkira la ya ;)

bye~
Amy Ikram berkata…
tq...u make sure tulis nama i dlm review tue ye..