Arja Lee dan Vanidah Imran dalam Teater 'Mahsuri' akan datang....

Sebut sahaja nama 'Arja Lee', barangkali peminat dunia filem dan drama tempatan, mungkin kurang mengenali anak muda yang berusia 25 tahun ini. Jika anda peminat setia rancangan Gangstarz, mungkin ada yang mengenalinya. Beliau merupakan peserta Gangstarz yang berada di dalam kumpulan Equastarz. Terbaru, Arja Lee telah terpilih untuk membintangi sebuah teater 'Mahsuri' arahan Fauziah Nawi yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada bulan April 2009. Teater ini turut di bintangi, pelakon filem terkenal Vanidah Imran, Azizah Mahzan, Azman Md Hassan dan ramai lagi. Di dalam Mahsuri, Arja Lee akan memegang watak utama sebagai Wan Darus, iaitu suami kepada Mahsuri, lakonan Vanidah Imran. Mari kita selidiki, apa kata 'Fauziah Nawi atas pemilihan Arja Lee, sebagai watak utama...

Kenapa Fauziah Nawi memilih Arja Lee sebagai watak utama sedangkan Rashidi Ishak boleh melakonkannya bersama Vanidah Imran?

'"Saya dapati Arja mempunyai kebolehan dan bakat tetapi yang lebih penting kehendak dan komitmennya dalam pementasan ini amat besar. Saya yakin dengan kecenderungannya itu. Malah, saya juga sudah biasa bekerja dengan orang baru dalam bidang lakonan.Apa yang penting dia sanggup belajar dan mendengar kata demi melakonkan watak itu dengan sebaik mungkin," komennya.Bagaimanapun, sebagai pengarah dan pelakon berpengalaman beliau tidak menafikan terdapat riak kegoyahan sewaktu Arja mula-mula dipertemukan dengan Vanidah Imran yang melakonkan watak Mahsuri.Namun, atas bimbingan dan yakin dengan bakat lakonan yang semakin cerah digilap dalam siri-siri latihan yang telah diadakan, ia memberi banyak keyakinan kepada pelakon muda itu.Contohnya, masa Arja mula - mula pegang Vee (Vanidah) dia macam rasa takut. Apatah lagi saya ingatkan dia bahawa Vee isteri orang. Tetapi Arja dan Vee faham batas dalam melakonkan watak masing-masing. Ini kerana, pada mulanya saya menjangkakan Rashidi Ishak (suami Vanidah) boleh melakonkan watak yang akan dilakonkan oleh Arja itu.Sebabnya lebih senang kalau ia dilakonkan oleh Vee dan Rashidi kerana mereka memang suami isteri. Sayangnya, Rashidi ada komitmen lain," jelas Fauziah lagi.Selain Arja Lee dan Vanidah Imran, Mahsuri yang menyelitkan elemen nyanyian, tarian dan pencak silat itu turut dilakonkan oleh pelakon hebat seperti Azizah Mahzan dan Abu Bakar Juah."
- Fauziah Nawi


sinopsis Teater Mahsuri

Kategori : Teater
Tarikh : 24 - 30 Apr 09
Masa : 8.30 MALAM

Mahsuri gadis cantik kelahiran Langkawi, dara pingitan Pandak Mayah dan Cik Alang. Cantik jelitanya menjadi buah mulut dan kecemburuan terutamanya kaum wanita. Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan, iaitu Wan Darus, adik kepada wakil Sultan di Langkawi, Wan Yahya (atau dengan gelaran Datuk Pekerma Jaya) dan Wan Mahura.
Hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Darus keluar meninggalkan Langkawi untuk berperang dengan tentera Siam. Sepeninggalan beliau, Mahsuri tinggal bersama ibu bapanya. Deramang, seorang kembara telah singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi dan ibu bapa Mahsuri, sehingga mempelawa Deramang tinggal dirumahnya. Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, kakak iparnya. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri melakukan hubungan sulit dengan Deramang.
Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh oleh Datuk Pekerma Jaya setelah termakan hasutan isterinya. Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh. Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa. Sebelum mati Mahsuri telah menyumpahi Langkawi menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan. Wan Darus pulang dengan kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim meninggalkan Langkawi.


Info

* Arja Lee merupakan pelakon asal filem pendek 'comolot'. Tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, watak di dalam filem tersebut telah di beri kepada Remy Ishak.

p/s: nantikan teater Mahsuri pada 24 hingga 30 April 2009 di Panggung Sari, Istana Budaya

Catat Ulasan

1 Ulasan