'Chocolate', Karya Terakhir Yasmin Ahmad!!



Bertemakan 'Wajah Malaysia' dalam satu platform, komuniti pembikin filem bebas menerusi projek '15 Malaysia', menampilkan 15 filem pendek, termasuk 'Chocolate' karya terakhir Yasmin Ahmad yang akan ditayangkan secara ekslusif pada 19 Ogos 2009 menerusi laman http://15malaysia.com/. Chocolate, yang dibarisi pelakon muda Howard Hon Kahoe, Tan Mei Ling dan Yasmin's Protege, Sharifah Armani mengisahkan pergolakan rasa yang berlaku antara pemuda Cina terhadap kehidupannya sehingga mewujudkan satu perasaan kasih dan sayang yang tidak dapat ditandingi. Menurut Yasmin Ahmad semasa ditemubual oleh rakan media selepas projek filem ini dihasilkan, '"Kali ini, saya bukan bercerita mengenai cinta, tetapi lebih kepada dilema golongan muda Cina di negara ini. Satu ketika dulu, apabila berasa kecewa dengan hidup mereka di Malaysia, generasi lama masyarakat Cina akan berhijrah ke Singapura untuk mencari kehidupan yang khabarnya lebih sempurna. "Namun, watak pemuda Cina yang saya tonjolkan dalam filem pendek ini enggan berbuat demikian kerana apa saja yang berlaku di sini, inilah tanah airnya. Dia menyayangi Malaysia," ujar Yasmin yang sememangnya sering kali menampilkan isu perhubungan antara kaum, kritikan sosial, lawak keluarga serta elemen kasih sayang yang sangat kuat dalam karya tulisan dan arahannya.

Selain Yasmin, turut terbabit dalam projek 15 Malaysia ialah Ho Yuhang, James Lee, Tan Chui Mui, Amir Muhammad, Liew Seng Tat, Nam Ron, Benji Lim & Bahir Yeusuff, Khairil Bahar, Johan John, Woo Ming Jin, Suleiman Bersaudara, Linus Chung, Kamal Sabran dan Desmond Ng. Menyambung cerita mengenai projek 15Malaysia, Yasmin sempat ‘mendedahkan’ sebuah kisah yang dirasakannya cukup kelakar, arahan Ho Yuhang berjudul Potong Saga. Kata Yasmin, filem itu bercerita mengenai bagaimana seorang pemuda Cina ditipu oleh beberapa rakannya apabila mereka menggesanya membuka akaun bersama sebuah bank Islam. Kononnya, pemuda itu perlu berkhatan terlebih dulu sebelum boleh berbuat demikian. Pemuda yang pernah mencetuskan kontroversi, Namewee, ialah seorang daripada pelakon filem pendek ini. Selain Amani, Mei Ling, Kahoe dan Namewee, projek istimewa itu turut membabitkan ramai pelakon lain termasuk Atilia, Ida Nerina, Harith Iskander, Amber Chia, Jay Menon, Namron, Ciplak, Jason Lo, Patrick Teo, Daphne Iking, Bront Palarae dan Adibah Noor. Tidak ketinggalan diundang menjayakannya ialah beberapa nama popular dalam dunia politik termasuk Datuk Nik Aziz, Datuk Zaid Ibrahim, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Tian Chua.
Sementara itu, Pete Teo selaku Ketua Projek 15 Malaysia ini memberitahu, projek yang ditaja syarikat perkhidmatan internet tempatan, P1, itu pada dasarnya akan dapat ditonton masyarakat apabila ia mula ditayangkan di internet bermula 17 Ogos ini. "Ketika ini, kami masih berbincang mengenai judul mana yang akan dipilih sebagai pembuka tirai kepada tayangan projek 15Malaysia. Kami mempunyai beberapa nama dalam pertimbangan," katanya ketika dihubungi beberapa jam selepas perbualan bersama Yasmin. Menurut Pete, dalam masa 30 hari, sebuah demi sebuah filem pendek yang berdurasi antara 3 hingga 6 minit itu akan dilancarkan, sehingga 16 September, satu tarikh yang dipilih bagi memperingati Hari Malaysia.

"Filem yang kami hasilkan ini bukan berbentuk filem seni, sebaliknya filem yang berteraskan isu berat sama ada mencakupi perkara berkaitan politik dan masyarakat. Daripada isu samseng jalanan, rasuah, perbankan secara Islam, keadaan mutu bola sepak negara sehinggalah persoalan perkauman dimuatkan dalam filem yang terpilih menjayakan projek ini," katanya. Dalam kenyataan yang dikirimkan kemudiannya pula, dicatatkan, 15Malaysia bukan pernyataan politik mana-mana parti politik di negara ini, bukan juga video promosi oleh mana-mana kementerian.

FILM SCREENING SCHEDULE
online screening
http://15malaysia.com/

The following are the release dates of all the 15Malaysia films. Please help us by spreading the word! :-)

  1. 17th AUGUST - POTONG SAGA by Ho Yuhang
  2. 19th AUGUST - CHOCOLATE by Yasmin Ahmad
  3. 21st AUGUST - HEALTHY PARANOIA by Khairil M Bahar
  4. 24th AUGUST - LOLLIPOP by Nam Ron
  5. 26th AUGUST - HALAL by Liew Seng Tat
  6. 28th AUGUST - DUIT KECIL by Johan John
  7. 31st AUGUST - LUMPUR by Kamal Sabran
  8. 2nd SEPTEMBER - THE TREE by Amir Muhammad
  9. 4th SEPTEMBER - ONE FUTURE by Tan Chui Mui
  10. 7th SEPTEMBER - SLOVAK SLING by Woo Ming Jin
  11. 9th SEPTEMBER - GERHANA by James Lee
  12. 11th SEPTEMBER - METER by Benji Lim & Bahir Yeuseff
  13. 14th SEPTEMBER - THE SON by Desmond Ng
  14. 15th SEPTEMBER - HOUSE by Linus Chung
  15. 16th SEPTEMBER - ROJAK by Suleiman Brothers
Kahoe.. antara pelakon yang akan membintangi filem pendek Chocolate arahan Yasmin Ahmad yang akan ditayangkan pada 19 Ogos 2009..

Sumber berita: Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan