'Magika'... Filem terhebat KRU Films?


Benarkah andaian yang mengatakan 'Magika' filem terhebat untuk tahun 2010?. Filem arahan Edry Abd. Halim ini sebenarnya telah pun ditayangkan di Bangkok, baru-baru ini semasa sidang preview khas yang melibatkan ramai rakan media. Tayangan yang di adakan pertengahan Oktober 2009 lalu merupakan 'test market' sebelum ia memasuki pawagam Malaysia pada tahun depan. Kepada anda termasuk saya yang belum menyaksikan Magika, nantikan Tayangan Perdana Magika yang akan di beritahu kelak. Nak tahu apakah yang di uraikan wartawan Berita Harian, Nurulhisham Abdul Latiff mengenai Magika.. jom kita baca apa yang dipaparkan di bawah...

Filem terbaru terbitan KRU Studios papar persembahan berbeza, amat segar dari segi penceritaan dan genre

PADA pertengahan Oktober lalu, sekumpulan wartawan hiburan negara diundang KRU Studios ke Bangkok untuk menonton filem terbaru keluaran syarikat berkenaan, Magika.

Dalam perjalanan ke sana, orang kuat syarikat terbabit, Norman Abdul Halim memberitahu, tujuannya berbuat demikian sekadar memberikan pengalaman berbeza kepada wartawan yang selalunya menonton filem tempatan pada majlis pratonton atau tayangan perdana di sekitar ibu kota.

Ketika itu, Magika baru saja siap menjalani proses pasca-penerbitan di Siam Film Development (SFD), Bangkok, lokasi di mana filem berkenaan ditayangkan di pawagam mini yang boleh memuatkan sekitar 20 penonton pada satu masa.

KRU memilih SFD di Bangkok sebagai pusat pemprosesan akhir filem mereka kerana percaya pada keupayaan pakar yang bertugas di situ serta teknologi dimiliki syarikat terbabit. Kesemua filem keluaran KRU Studios sebelum ini (Cicak-Man 1 & 2, Duyung, Jin Notti, My Spy) menjalani proses serupa di tempat yang sama.

Selain Thailand, kebanyakan filem di rantau Asia bertumpu di negara seperti India, Hong Kong dan Australia untuk tujuan menyiapkan pasca-produksi filem keluaran mereka.

Selepas dibawa meninjau beberapa studio pemprosesan, termasuk bilik suntingan audio dan penggredan warna, akhirnya filem sulung arahan Edry Abdul Halim ditayangkan. Daripada minit pertama tayangan, sudah kelihatan suatu pembaharuan dipersembahkan jejaka yang sebelum ini banyak menggalas tanggungjawab dari segi muzik terhadap produk keluaran syarikat mereka.

Sesudah sejam setengah filem terbabit diputarkan, lampu pawagam mini itu dihidupkan, diikuti tepukan gemuruh wakil media yang ada. Magika nyata sebuah persembahan yang berbeza dan amat segar dari segi penceritaan dan genrenya. Kisah dua beradik dari zaman moden yang sesat di alam ‘lain’, lalu bertemu dengan pelbagai watak popular dalam cerita lama masyarakat Melayu, dipersembahkan pula dalam bentuk muzikal dikira percubaan yang menjadi lagi menghiburkan.

Keberanian KRU mengundang wartawan menonton filem itu di Bangkok, beberapa bulan sebelum ia menemui penonton di tanah air dikira berbaloi. Terlintas juga di kepala, beberapa jam sebelum tayangan bermula, bagaimana jika filem Magika tidak seberapa? Tetapi, takkan Norman dan dua adik lelakinya itu berani mengundang wakil media seandainya Magika hanyalah sebuah filem biasa.

Beberapa bulan sebelum filem itu menjalani proses akhir di Bangkok, sudah kedengaran ‘cerita’ kononnya ia bakal membawa perubahan kepada resipi filem tempatan. Mengangkat genre muzikal, pada ketika ramai produser mempertaruhkan filem seram dan komedi, dikira satu lagi percubaan nekad KRU Studios dalam mempelbagaikan lagi jenis filem di negara ini.

Mereka jugalah syarikat pertama yang memperkenalkan filem adiwira dalam arena perfileman tempatan. Dipersembahkan dalam bentuk komedi dan aksi, Cicak-Man seterusnya muncul antara filem paling berjaya pernah dihasilkan dengan pungutan melebihi RM5 juta, ketika ditayangkan pada penghujung 2006.

Magika, yang mempertaruhkan dua pelakon muda, Diana Danielle dan Shafimie Saedon atau Fimie (Hikayat Putera Shazlan) bagi memegang watak utama, meriah dengan kemunculan ramai artis popular sebagai bintang undangan termasuk Mawi, Ziana Zain, Ning Baizura, Aznil Nawawi, Vanida Imran, Raja Azura, Senario, Norman Hakim, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani, Sabri Yunus, Datuk Jalaludin Hassan, Fauziah Ahmad Daud dan M Nasir.

Turut memeriahkan filem yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak itu ialah kumpulan KRU yang muncul sebagai pokok boleh bercakap dan menyanyi.

Siapa sangka, si pencipta muzik rupa-rupanya juga seorang pengarah cukup kreatif? Edry mempunyai potensi besar untuk terus menghasilkan filem yang menawarkan hiburan berbeza.

"Saya sendiri memasang impian untuk menghasilkan sebuah filem muzikal penuh pada masa akan datang. Menerusi percubaan pertama ini, kami tidak boleh berbuat demikian, bimbang juga jika penonton belum bersedia menerimanya, Justeru, kami hasilkan muzikal yang turut mempunyai dialog," katanya yang sebelum ini kerap terbabit dalam pembikinan klip video nyanyian artis KRU Studios.

Bukan sekadar mengarah, tetapi Edry sebenarnya terbabit dalam filem berkenaan dari A hingga Z apabila dia juga berkeupayaan dari segi teknikal. Daripada lakon layar, penyediaan lagu, muzik, rakaman vokal, suntingan warna dan sebagainya, Edry nyata terbabit sama. Pendek kata, Magika buah tangan yang cukup sentimental bagi lelaki ini.

Membanggakan juga, apabila kesemua lagu ciptaannya dalam Magika dinyanyikan sendiri oleh pelakon filem berkenaan. Maka, kedengaran suara manja Danielle, suara halus Fimie serta vokal garau Mawi dan M Nasir sepanjang tayangan. Lagu duet Mawi dan Danielle juga khabarnya sudah mula disiarkan Era.

Dirakam awal tahun ini, filem yang menelan belanja kira-kira RM2 juta itu sarat dengan pesanan berguna, komedi menggeletek hati, lakonan berkesan, lagu berbagai-bagai irama, sinematografi menarik, babak mendebarkan serta pelbagai kejutan. Magika dijangka menemui peminat pada Februari tahun depan.

sumber: Berita Harian

Catat Ulasan

0 Ulasan