'AMELIA AMNESIA' DRAMA BERSIRI 13 EPISOD KARYA AMY IKRAM , MULAI 21 FEBRUARI 2012 DI TV1

Assalamualaikum..

'Amelia Amnesia', sebuah drama bersiri 13 episod arahan Haizul Anafer Ali yang naskhahnya ditulis oleh aku, Amy Ikram akan mula tayang hari ini, Selasa 21 Februari 2012 di TV1, RTM Malaysia pukul 3.00 petang hingga 3.30 petang. Peminat drama tempatan jangan lupa menonton drama bersiri ini.

sinopsis penuh


Sebelum dirinya disahkan mengidap penyakit amnesia, Amelia adalah seorang gadis yang amat sombong, tegas dan mementingkan diri sendiri. Dia sanggup melakukan apa saja termasuk merasuah seorang pegawai syarikat untuk mendapatkan projek yang bernilai jutaan ringgit demi menjaga statusnya sebagai seorang ahli perniagaan muda yang berjaya.

Namun segalanya berubah setelah dia terlibat dalam kemalangan yang menyebabkannya hilang ingatan. Dia mula mencari dirinya yang sebenar dengan bantuan orang di sekelilingnya. Bagi insan-insan yang terdekat dengannya. Bagi ibu dan ayahnya, kejadian itu umpama rahmat kerana Amelia yang wujud kini berubah sama sekali. Dia bukanlah Amelia yang angkuh dan keras hati seperti dulunya.

Kisah menarik yang sarat pengajaran ini melatari plot drama rantaian “Amelia Amnesia” yang bakal menemui penonton mulai 21 Februari ini, setiap Isnin hingga Khamis, jam 3.05 petang di TV1. Drama mengisi slot Cindai ini menyaksikan lakonan hebat Memey Suhaiza menghayati watak Amelia dan Ezani Nazarif sebagai Haris selain dibantu oleh Lydiawati, Nazira Sardi dan Hani Dahlan.

Kisahnya bermula dengan watak Amelia yang angkuh menimbulkan rasa kurang senang ibu bapanya, Dato’ Husin dan Datin Safiah. Dato’ Husin cuba menasihatkan Amelia supaya menjaga tingkah laku. Namun Amelia menempelak bapanya sehingga menyebabkan Dato’ Husin dan Datin Safiah amat sedih. Zarina, adik Amelia turut bergaduh dan tidak sefahaman dengan Amelia.

Haris, tunang Amelia cuba menasihatinya namun sebaliknya dia pula diberikan amaran supaya tidak masuk campur dalam urusannya. Amelia seorang ahli perniagaan yang sanggup melakukan apa saja bagi mendapatkan projek. Dia menjadikan Dato’ Syed Mahmood sebagai musuh ketatnya. Amelia telah merasuah seorang pegawai untuk mendapatkan projek yang bernilai berjuta ringgit.

Datin Safiah makin tertekan dengan sikap Amelia terutama dalam mendapatkan projek. Datin Safiah bimbang tindakan Amelia makin berani sanggup melakukan apa saja tanpa mengira siapa mangsanya. Amelia tertekan. Tambahan pula berita Haris skandal dengan seorang perempuan telah masuk ke majalah. Mereka bertengkar namun Haris menafikan berita itu.

Dato’ Syed Mahmood mula mengancam Amelia bila banyak projek syarikat disambar oleh Amelia. Amelia tidak lemah sebaliknya dia mengugut untuk menyebarkan gambar lucah Dato’ Syed jika dia terus bersaing dengannya.

Zarina telah menempah dua tiket ke Padang bersama Haris. Melisa telah membocorkan rahsia percutian Zarina kepada Amelia. Amelia telah menyiasat dan mendapati berita itu adalah benar. Dia amat kecewa kerana Zarina adiknya sendiri sanggup mengkhianati dirinya denga merampas Haris yang telah pun menjadi tunang Amelia.

Amelia bertindak mengikut Haris dan Zarina ke Padang Indonesia. Amelia mencari dari satu hotel ke satu hotel. Situasi itu membuatkannya semakin tertekan. Haris dan Zarina bergembira dengan percutian mereka. Haris telah memasukkan pil tidur dalam minuman Zarina. Zarina telah dinodai oleh Haris.

Ketika keluar dari sebuah restoran Amelia bertembung dengan Zarina dan Haris. Amelia menerpa ke arah mereka. Zarina dan Haris melarikan diri daripada Amelia. Amelia mengejar kereta Haris. Sebuah kereta yang gagal dikawal telah melanggar Amelia. Amelia telah dimasukkan ke hospital kerana kritikal.

Amelia telah dimasukkan ke hospital kerana telah mengalami kemalangan di Indonesia. Amelia mengidap Amnesia. Dia lupa apa yang telah terjadi. Atira amat menyesal kerana dialah penyebab kemalangan tersebut. Atira berjumpa meminta maaf daripada Datin Safiah. Akan tetapi Datin Safiah tidak menyalahkan Atira. Atira menjadi sahabt baik Amelia dan Datin Safiah.

Setelah dibenarkan keluar dari hospital, Datin Safiah mengajak Amelia untuk balik Ke Kuala Lumpur. Amelia menolak. Dia lebih senang berada di Indonesia bersama teman barunya, Atira. Atira berjanji akan menjaga Amelia dengan sebaik mungkin. Haris ingin berjumpa dengan Amelia tetapi dihalang oleh Zarina. Zarina mengugut Haris jika dia bertemu Amelia, Zarina akan memutuskan hubungan mereka. Haris berada dalam dilema.

Namun akhirnya Amelia akur. Dia disambut dalam satu majlis ringkas menyambut kepulangannya dari Indonesia. Amelia gagal mengenal sesiapapun ahli keluarganya. Peluang ini diambil oleh Zarina untuk merampas kuasa di syarikat mereka. Di situ juga muncul pemuda bernama Iqwan yang menaruh hati terhadap Amelia.

Lalu apakah yang terjadi seterusnya bila Zarina semakin bertindak di luar batas? Siapakah yang dipilih oleh Amelia antara Haris atau pun Iqwan? Kesudahannya akan diketahui apabila anda menyaksikan 13 episod drama “Amelia Amnesia” di TV1.

AMELIA AMNESIA: IDEA ASAL : RYAN ROSLAN . SKRIP : AMY IKRAM

sumber: budiey ( sensasi selebriti).

P/S: Bagi anda yang tak dapat menonton di kaca TV anda, ia juga boleh ditonton online melalui APPS TV 1 MALAYSIA (online klik) dan online TV1 ulangan di TV1.. kena tanya RTM ye...

Catat Ulasan

1 Ulasan

DanieL AdiE berkata…
Tahniah2..

Keep it up...